KUALA LUMPUR, 19 Sept – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan laporan mengenai seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Mesir.

Menerusi kenyataan di sini malam tadi, beliau memaklumkan Kementerian Luar memantau perkembangan kes tersebut menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

“Susulan penahanan berkenaan, pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di sana sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Mesir bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Saifuddin berkata, Wisma Putra menerusi Kedutaan Besar Malaysia tetap menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mahasiswa tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak pula menyatakan alasan kenapa pelajar berkenaan ditahan oleh pihak berwajib negara itu selain butiran diri mahasiswa terbabit dan tempoh penahanan.

Dianggarkan ada lebih 7,000 pelajar Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, sebuah institusi pengajian tinggi terulung dunia Islam sejak diasaskan Khalifah Fatimiyah pada 972 Masihi.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular di Mesir diminta segera menghubungi Kedutaan Besar Malaysia yang beralamat di No.21, Al Aanab Street, Mohandessine, Giza, Kaherah. Canseri diplomatik berkenaan turut boleh dihubungi untuk pertolongan kecemasan menerusi talian terus +201200276388 atau pun e-mel rasmi kedutaan iaitu mwcairo@kln.gov.my.