KUALA LUMPUR, 20 Sept – Hanya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemuda-pemudi parti itu yang berteriak “sanggup” untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara dilanda banjir besar.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan adakah itu keutamaan buat mereka ketika rakyat sedang susah dan dilanda musibah.

“Kalau ini bukan gila kuasa, entah apa lagi yang hendak diperkata!

“Patutnya Pemuda BN lawan Pengerusi BN yang rakus ini! Bukan menyokong kenyataan DS Zahid Hamidi!

“Jangan kerana hendakkan watikah bertanding habis rakyat dijadikan tebusan politik rakus DS Zahid Hamidi dan konco-konconya!” katanya dalam kenyataan di Facebook baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Zahid Sabtu lalu, bahawa sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, ada kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.