KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai untuk diadakan pada hujung tahun ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata kempen PRU hanya akan mengalih perhatian masyarakat terhadap liputan perbicaraan kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang melibatkan beberapa pemimpin politik negara.

Tambahnya, laporan wakil Jabatan Meteorologi Malaysia seperti yang disiarkan di media massa baru-baru ini mengenai gelombang hujan lebat dan banjir juga mengatakan akan berlaku dari November 2022 hingga Mac 2023.

Katanya, hujung tahun juga adalah waktu cuti panjang.

“Sebahagian masyarakat kita di mana ada antara mereka berkunjung ke luar negara.

“Atau bagi Muslim ia juga waktu yang popular untuk ibadat umrah di tanah suci (musim sejuk),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Faiz berkata golongan rakyat B40 terutama orang muda yang berniaga sendiri perlu sekurang-kurangnya hingga awal tahun depan untuk pulih dari kemelut ekonomi.

Katanya, ini kerana kemelut ekonomi telah memberi impak terhadap kesihatan kewangan mereka.

“Di mana hujung tahun sinonim dengan waktu untuk berjimat dan banyak perbelanjaan untuk menghadapi kemungkinan bencana (banjir) dan persediaan sesi baru persekolahan anak-anak/ semester bagi yang menanggung kos pelajaran,” katanya.