KUALA LUMPUR, 20 Sept – Malaysia mengulangi gesaannya supaya ASEAN menjalin hubungan lebih baik dengan pihak berkepentingan di Myanmar iaitu Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) yang dipilih rakyat sebelum rampasan kuasa dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) bagi menangani krisis yang semakin memuncak.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata penting untuk badan serantau itu membabitkan kedua-dua pihak berkenaan dalam rundingan yang inklusif dan adil.

“Bagi pemerhati dan mereka yang mengikuti perkembangan di Myanmar, anda akan tahu keadaan sangat kompleks dan terdapat banyak pihak berkepentingan.

“Malaysia tidak berpuas hati dengan pembabitan itu kerana sejak beberapa bulan lalu, kami sudah menggesa ASEAN untuk membabitkan wakil dari NUG dan NUCC.

“Ya, mungkin pada masa lalu terdapat pandangan yang berbeza, tetapi selepas rampasan kuasa dan terutama sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya rasa NUG sudah melakukan tugas yang bagus dengan membina keyakinan dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Saya fikir anda mungkin tidak melihat perpaduan seperti itu dalam kalangan pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media di Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York hari ini.

Sidang media itu dianjurkan Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR), Naib Presiden Parlimen Eropah dan Pengerusi Siasatan Parlimen Antarabangsa (IPI) mengenai tindak balas global terhadap krisis di Myanmar, Heidi Hautala.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Klang dan Pengerusi APHR, Charles Santiago.

Saifuddin mengulangi ASEAN perlu mengusahakan rangka kerja yang mempunyai pengakhiran jelas termasuk mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Menyentuh mengenai konsensus lima perkara (5PC), Saifuddin berkata, terdapat keperluan mendesak untuk melihat semula pelaksanaan berkenaan kerana junta tentera tidak menunjukkan komitmen terhadap pelaksanaannya.

“Bagi Malaysia, kita perlu menangani 5PC sama ada ia berkesan dan masih relevan serta persediaan asas perlu dilakukan mulai sekarang.

“Jika 5PC tidak berjaya, menjelang November (semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2022), kita perlu memutuskan langkah seterusnya,” katanya.

Saifuddin turut menyuarakan harapan untuk menyaksikan pemimpin dunia bersuara demi solidariti dengan rakyat Myanmar pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, perhimpunan tahunan terbesar pemimpin dunia, bermula 19 hingga 26 September.

“Kami amat berharap ketua-ketua negara, kerajaan pemimpin akan bersuara bagi pihak Myanmar semasa berucap di UNGA,” katanya.

Pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar bertindak merampas kuasa, beberapa jam sebelum Parlimen yang baharu dilantik bersidang buat kali pertama.

Sejak itu, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pemberontakan menentang junta.

Pada Julai lalu, junta melaksanakan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik, antaranya dua aktivis pro-demokrasi terkemuka.

Pada Ogos lalu, pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun atas tuduhan penipuan pilihan raya, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 20 tahun, termasuk dakwaan rasuah.