BELURAN, 20 Sept – Lebih 21,000 pengunjung membanjiri Program Semarak Tani Keluarga Malaysia Beluran yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Pasar Tamu Beluran pada Sabtu dan Ahad lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata program itu adalah rangkuman produk di bawah MAFI bertujuan membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar.

Beliau berkata, selain itu ia menyampaikan maklumat mengenai pendekatan serta dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di lapangan.

“Pelbagai aktiviti seperti Jualan Murah Keluarga Malaysia, My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Pameran Jabatan dan Agensi, Program Dialog Industri dan Peningkatan Kapasiti Nelayan, Program Agropreneur Muda, Sukan Rakyat serta Pemimpin Bersama Komuniti dilaksana sepanjang program.

“Program ini ialah usaha MAFI mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar dan pendekatan kerajaan melalui kementerian serta memberikan jaminan terhadap komitmen serta usaha berterusan kerajaan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Pada program itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyaksikan sesi penyerahan Pasar Tamu Beluran baharu yang dibangunkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kos RM746,000 kepada Majlis Daerah Beluran.

Katanya, projek naik taraf pasar tamu di Beluran siap pertengahan Mei lalu di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 dan sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan pasar tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat memperkasakan pemasaran hasilan pertanian.

“Pembangunan rangkaian pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.

“Naik taraf pasar tamu itu memberi manfaat kepada 120 peserta memasarkan produk mereka, sekali gus membantu pengguna untuk mendapatkan produk pertanian dan industri makanan pada harga berpatutan di daerah Beluran,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan iaitu PNK ke-15 di Sabah serta proses penubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Telupid yang kini dalam peringkat akhir.

“MAFI melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan, sekali gus menunjukkan sumbangan besar sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

“Penetapan sempadan PNK Paitan adalah dari Kampung Sungai Mapad hingga Kampung Sungai Memahat serta pulau di sekitarnya.

“Antara cadangan kegiatan ekonomi yang akan dilaksanakan di PNK Paitan adalah projek Agrotourism, Pemasaran Ikan dan Hasil Laut serta projek Kontrak dan Pembekalan,” katanya.

Serah elaun untuk nelayan

Ronald turut menyerahkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut RM193,275.80 kepada 650 nelayan Beluran.

Beliau memaklumkan, nilai bayaran ESHN Laut seluruh Sabah bagi tahun ini RM22,013,900 yang memanfaatkan 7,671 nelayan laut.

ESHN Darat di Daerah Beluran bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi 2022 bernilai RM534,000 juga diserahkan pada hari sama yang memanfaatkan 178 nelayan darat.

Turut disampaikan, projek naik taraf dan bina 14 jeti di kawasan Parlimen Beluran melibatkan kos keseluruhan RM1.2 juta yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan lebih baik kepada nelayan setempat.

Bagi pengunjung, Rizan Hamzah, 45, yang juga nelayan dan berasal dari Kampung Tetabuan, berkata dia bertolak seawal jam 8 pagi ke program berkenaan yang belum pernah diadakan di daerah terbabit.

Menurutnya, dia ke program itu kerana mahu mendapatkan barangan pertanian dan makanan yang dijual harga murah.

“Antara barangan yang murah adalah minyak masak, tepung, dan beras. Misalnya, beras lima kilogram (kg) dijual RM5 sahaja, bermaksud RM1 untuk 1kg. Memang sangat murah dan ini kali pertama diadakan di daerah ini.

“Sebagai nelayan kami boleh menuntut ESHN RM300 kerana terdapat kaunter tuntutan elaun yang dibuka sepanjang program ini,” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Tani Keluarga Malaysia Beluran.

Jualan murah lebih kerap

Pesara swasta, Borhan Lundu, 61, berkata jualan murah barangan keperluan asas terutama beras perlu diadakan lebih kerap.

“Saya beratur mendapatkan kupon seawal jam 8 pagi dan memang ramai pengunjung berbaris untuk membeli beras. Saya berjaya mendapatkan dua kampit beras dengan hanya RM10.

“Jualan sebegini harus diteruskan dua bulan sekali, terutama di luar bandar,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang juga antara penerima Bakul Makanan MAFI Prihatin, Rahmah Sharif Shei, 62, berkata dia tidak sangka dipilih sebagai antara penerima bakul makanan.

“Saya bersyukur kerana diberikan bantuan bakul makanan berisi beras dan keperluan memasak lain. Bantuan ini dapat menampung keperluan keluarga saya beberapa hari,” katanya yang juga suri rumah.

Terdahulu, 1,000 bakul makanan disediakan kepada penerima pada program itu.