JOHOR BAHRU, 20 Sept – Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunding BERSATU ‘menyumbang’ kepada prestasi kerajaan yang hambar adalah tidak wajar kerana pemimpin parti itu dalam Kabinet mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah melunaskan tanggungjawab yang diberikan.

Timbalan Pengerusi PN Johor Mohd Solihan Badri berkata MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menasihati Ismail Sabri supaya melaksanakan ‘program luar biasa’ untuk memperkasa semula ekonomi negara yang rentan akibat COVID-19.

Namun, kata Solihan, Ismail Sabri dilihat tidak serius dengan pemerhatian Muhyiddin mahupun laporan MPN apabila tiada tindakan komprehensif dilaksanakannya kerana lebih banyak melayan gangguan dan ugutan pemimpin UMNO sendiri.

“Akibat memberi tumpuan kepada politiking menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus untuk menguruskan kerajaan, rakyat dan ekonomi. Ini termasuk mengabaikan cadangan MPN yang diangkat kepada mesyuarat Kabinet yang mempunyai asas kukuh serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

“Janganlah cadangan baik daripada Muhyiddin dipandang enteng hanya kerana beliau adalah Pengerusi PN. Perdana Menteri perlu bersikap profesional dalam mengurus kerajaan kerana jika idea baik tetapi dihalang, yang menerima kesannya adalah rakyat.

“PN Johor tidak nampak sesuatu yang baharu sejak Ismail Sabri mengambil alih teraju kerajaan Pusat kecuali meneruskan perancangan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika negara serantau giat meneruskan projek yang terhenti akibat COVID-19 selain melaksanakan pembangunan baharu yang akan memacu pertumbuhan, kata Solihan, negara kita malangnya menjadi perhatian antarabangsa kerana konflik politik yang tak sudah dan kerakusan pemimpin dengan rasuah.

Justeru, katanya, Ismail Sabri perlu pantas membetulkan keadaan ini dan tidak prejudis dengan teguran Muhyiddin supaya kerajaan serius menyelamatkan negara daripada terus kerugian berbilion ringgit setiap bulan.

“Antaranya, kepincangan pengurusan ekonomi dan kekurangan tenaga kerja termasuk dalam industri teras seperti kelapa sawit selain kemerosotan nilai ringgit susulan pelbagai faktor yang semakin tidak terkawal.

“Ismail Sabri juga perlu berani menangani ugutan politik daripada rakan-rakannya dalam UMNO sendiri selain bijak mengimbangi di antara politiking dan keutamaan mengurus kepentingan rakyat,” katanya.