BETAPA malangnya rakyat negara ini apabila nyawa mereka digadaikan semata-mata untuk memuaskan hati UMNO.

BN juga tidak peka dan prihatin kepada kesusahan rakyat pada waktu musim tengkujuh sedangkan rakyat sentiasa memikirkan tentang kesukaran dan keselamatan mereka.

Rakyat tidak boleh tidur lena memikirkan tentang nasib yang akan menimpa mereka pada setiap kali musim banjir tiba.

Kenyataan Presiden UMNO Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa Barisan Nasional (BN) sanggup meredah hujan lebat dan banjir semata-mata ingin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Kenyataan yang dilihat kurang wajar dan kurang waras itu merupakan satu isyarat kepada Perdana Menteri supaya menyegerakan PRU lebih awal.

Kenyataan Presiden itu juga kononnya berdasarkan sokongan ahli-ahli UMNO yang hadir dalam perjumpaannya bersama pemuda BN.

Alasan yang diberi oleh Zahid Hamidi yang mengatakan bahawa parti itu difitnah dan dihasut oleh pembangkang adalah dangkal dan persepsi semata-mata. Sudah menjadi sesuatu yang normal setiap kali pilihan raya menjelang tiba akan berlakunya usaha-usaha untuk melemahkan parti lawan. Adakah UMNO tidak pernah mengalami situasi itu selama ini?

Saya berpendapat bahawa sebenarnya tujuan Zahid Hamidi itu adalah ingin mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar bahawa usaha percepatkan PRU adalah langkah untuk menyelamatkan dirinya dan beberapa pemimpin UMNO yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Adalah tindakan tidak berakal untuk mengambil risiko mendedahkan keselamatan rakyat, jentera pilihan raya dan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka pada waktu musim tengkujuh.

Pada masa yang sama adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cukup bersedia dan terlatih menjalankan PRU pada ketika musim banjir. Petugas pilihan raya juga terdedah dengan pelbagai risiko dan sebarang kemungkinan.

Selain itu, desakan supaya menyegerakan diadakan pilihan raya lebih awal itu bertujuan supaya rakyat tidak boleh keluar mengundi. UMNO dikatakan mempunyai kelebihan jika itu berlaku kerana mereka mempunyai pengalaman dan jentera pilihan raya yang cukup bagi menghadapi pilihan raya terutama parti itu mempunyai kekuatan kewangan.

Tidak mustahil kuasa wang akan digunakan sepenuhnya dalam saat-saat pengundi berasa bimbang tentang kesusahan dan keselamatan mereka pada musim tengkujuh.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi memberi peringatan jika PRU diadakan pada pertengahan November ada kemungkinan berlaku banjir besar kerana angin monsun Timur Laut aktif ketika itu.

BN dilihat sudah terdesak dan tersepit kerana usaha mereka meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri membubarkan Parlimen lebih awal seolah-olah tidak menampakkan tanda-tanda positif. Sehingga ini Ismail Sabri belum lagi mengumumkan tarikh pilihan raya secara khusus hanya memberitahu PRU sudah hampir diadakan.

Pilihan raya terdekat yang diminta oleh beberapa pemimpin dan penyokong UMNO sebenarnya boleh dikaitkan dengan hukuman penjara yang dihadapi oleh Najib Razak. Perkara itu didedahkan melalui beberapa kenyataan pemimpin mereka supaya Perdana Menteri menggunakan kuasanya membuat perubahan terhadap sistem kehakiman.

Tindakan mempercepatkan PRU itu bagi membolehkan UMNO membebaskan Najib Razak jika mereka memenangi PRU dan membentuk kerajaan.

Rakyat negara itu wajar mengambil iktibar apa yang berlaku terhadap negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga menyebabkan politik tidak stabil, keadaan ekonomi yang masih terumbang-ambing, kadar mata wang yang semankin mengecil dan imej negara yang terjejas di seluruh dunia akibat perbuatan pemimpin UMNO yang rakus tanpa memikirkan nasib rakyat negara itu.

UMNO tidak pernah berasa bersyukur lantaran parti yang kalah pada PRU masih boleh menjadi kerajaan dan dibantu hidup semula oleh BERSATU dan PAS.

Sikap tidak mengenang budi itu menjelaskan lagi sikap sebenar UMNO walaupun parti itu pernah diharamkan dan dikenali sebagai UMNO Baru.

Penulis adalah Kamarozaman Ahmad, Ketua Penerangan BERSATU Balik PulauIni pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.