PUTRAJAYA, 21 Sept – Gerakan Tunku Abdul Rahman (GTAR) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperhalusi hasil kajian pasukan petugas khas bagi penambahbaikan budaya kerja perkhidmatan kesihatan (HWCITF) yang dikeluarkan baru-baru ini.

Presidennya, Dr Aiman Alias berkata, berdasarkan penelitian terhadap laporan itu pihaknya mendapati, isu buli tidak difokuskan kepada golongan daripada gred UD41-UD56 yang mana gred yang dinyatakan itu merangkumi pegawai perubatan siswazah(UD41), pegawai perubatan junior (UD43/44) dan pegawai perubatan senior, pakar dan konsultan (UD44-UD56) yang kebanyakan aduan datangnya dari kumpulan itu.

Sebaliknya kata beliau, laporan yang dijalankan merangkumi 30 kumpulan kerja lain, yang diyakini akan menyebabkan peratusan kes buli kelihatan seperti rendah dan memberikan gambaran seolah-olah kejadian buli bukanlah pada tahap yang serius.

Katanya, ia dibuktikan pada hasil kajian pasukan khas itu apabila mendapati hanya tujuh peratus kakitangan menyatakan dibuli di tempat kerja.

“Seperti yang kita sedia maklum, penubuhan jawatankuasa ini bertitik tolak daripada kejadian kematian seorang pegawai perubatan siswazah ataupun ‘houseman’ pada pertengahan tahun ini.

“Antara isu ataupun punca yang mungkin menyumbang kepada kejadian ini dan juga keluhan dan aduan yang acap kali kita dengari dari pegawai perubatan muda adalah disebabkan isu buli.

“Laporan jawatankuasa juga tidak memberikan gambaran yang jelas apa langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya seseorang itu berhadapan dengan kes buli dan apa tindakan ataupun hukuman yang akan dikenakan kepada pembuli tersebut.

“Ini akan menyebabkan mangsa-mangsa buli menjadi lebih tidak yakin untuk melaporkan sebarang kes buli kerana mereka tahu tidak ada apa-apa yang akan berubah dan pelaku akan terus bertugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum dua muka surat kepada KKM, di sini, pada Rabu.

Beliau ditemani Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Dalam pada itu Dr. Aiman memberitahu, pihaknya membuat 10 cadangan penambahan terhadap laporan jawatankuasa tersebut yang dimasukkan ke dalam memorandum yang dihantar ke kementerian itu hari ini.

Katanya, beliau sangat berharap agar cadangan-cadangan itu dapat diperhalusi sekaligus membantu pihak kementerian menambah baik laporan yang telah pun dikeluarkan.