BALIK PULAU, 21 Sept – Satu program celik digital mendekati dan memberi khidmat kepada rakyat, khususnya peniaga, telah dianjurkan oleh BERSATU Bahagian Balik Pulau, bermula awal bulan ini.

Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau Zolkifly Md Lazim berkata program itu menarik minat seramai 60 peniaga yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India untuk memohon menggunakan QR Bank Islam Malaysua Berhad (BIMB).

Katanya, program QR BIMB itu merupakan satu cara untuk memberi pendedahan kepada peniaga dan pengguna di Balik Pulau mengenai pembayaran tanpa tunai berikutan ketiadaan bank di kawasan itu.

“Di kawasan saya itu tidak ada bank. Jadi banyak aduan seperti nak beli barang susah.

“Jadi kita buat kempen beli dalam talian. Bila nak buat bayaran dalam talian, kita kena ajar peniaga dan pembeli dulu,” katanya Penerangan BERSATU hari ini.

Zolkifly berkata program itu merupakan perkhidmatan urusan harian secara digital telah mendapat kerjasama pihak swasta Bank Islam Malaysia Berhad kepada orang ramai yang mengunjungi pasar awam di Balik Pulau.

“Jika sebelum ini di Pasar Awam Teluk Bahang, semalam perkhidmatan serupa itu dilaksanakan di Pasar Awam Balik Pulau.

“Ramai pengunjung dapat mengetahui maklumat dan menyertai program yang diperkenalkan itu,” katanya.

Kata Zolkifly program itu telah mendapat sambutan daripada orang ramai terutamanya orang bukan Islam.

“Setakat ini terdapat 200 orang Cina telah membuka akuan Bank Islam.

“Kita akan anjur program ini selama sebulan. Akan ada dua kaunter dibuka iaitu satu di pasar dan kawasan tumpuan,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata politik khidmat mesti kreatif dan inovatif.

Katanya, kepelbagaian perkhidmatan memberi pulangan yang berbeza kepada perspektif rakyat.

“Itu yang dilakukan oleh BERSATU Bahagian Balik Pulau dalam usaha mendekati dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, apa yang penting program itu mencelikkan orang ramai dalam penggunaan QR dalam urusan harian mereka.

“Jika bukan kita, siapa lagi. Turut membantu, sukarelawan prihatin terdiri daripada ahli-ahli Bersekutu,” katanya.