KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas pelbagai agensi yang akan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri bagi menangani isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata isu itu telah dibincangkan secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan kerja.

“Penubuhan Jawatankuasa Khas ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abd Latiff berkata rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan kerja.

Semalam, Abd Latiff berkata kerajaan amat memandang serius berhubung isu melibatkan penghambaan pekerjaan di beberapa negara Asean.

Kelmarin, Kementerian Luar Negeri memaklumkan la lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, berjaya diselamatkan.

Perkembangan itu menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga hari ini adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.