KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan status sekuriti bekalan makanan negara diunjur kekal stabil dan mencukupi.

Dalam satu kenyataan, MAFI berkata antara bekalan makanan yang mencukupi itu seperti beras, daging ayam, daging lembu, daging kerbau, telur, susu segar, ikan, buah dan sayur.

MAFI berkata demikian selepas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah mempengerusikan mesyuarat bersama-sama exco-exco pertanian negeri bagi memperkukuh sinergi ke arah jaminan sekuriti bekalan makanan segar secara hibrid di Wisma Tani semalam.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MAFI, exco-exco pertanian daripada 13 Negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pegawai Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi MAFI.

Dalam pada itu, MAFI berkata agenda mesyuarat kali ini merangkumi lima pembentangan, iaitu dua kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman.

MAFI berkata kertas pertimbangan yang dibentangkan termasuk cadangan pewartaan, penyelenggaran dan pemodenan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Selain itu cadangan untuk penubuhan dan terma rujukan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah juga dibuat sebagai langkah bersepadu bagi mengoptimumkan tanah pertanian sedia ada dan yang belum dibangunkan.

“Ini bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara,” katanya.

Sementara itu, MAFI turut bersetuju secara dasar supaya kerajaan negeri mengekalkan pewartaan TKPM dan mewartakan TKPM yang belum diwartakan.

Katanya, peruntukan penyelenggaran TKPM, tertakluk kepada kelulusan di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri masing-masing.

Tambah MAFI, mesyuarat juga bersetuju dengan penubuhan dan terma rujukan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah sebagai platform memudah cara pembangunan tanah milik persendirian secara terancang bagi tujuan aktiviti pertanian.

Katanya, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh pegawai daerah dan diselaraskan oleh pejabat daerah dan tanah dengan dianggotai pelbagai jabatan serta agensi di peringkat daerah.

“Kedua-dua persetujuan yang dicapai ini menyokong hasrat kementerian untuk memperkukuh sinergi dengan kerajaan negeri bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara,” katanya.

MAFi juga berkata dalam mesyuarat tersebut, Agrobank telah membentangkan kemudahan-kemudahan pembiayaan bagi golongan sasar yang terlibat dalam aktiviti di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

Katanya, ini termasuk pengeluaran input, tanaman, perikanan, ternakan, industri makanan dan agropelancongan serta aktiviti sokongan.

“Ini seperti pemasaran dan penghantaran makanan. Secara keseluruhannya, sebanyak RM1.375 bilion telah diperuntukkan oleh Agrobank bagi tujuan dana pembiayaan melalui pelbagai kemudahan pembiayaan yang boleh dipohon oleh golongan sasar,” katanya.

Selain itu, MAFI berkata mesyuarat juga mengambil maklum mengenai Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia.

Katanya, antaranya penemuan utama kajian tersebut termasuk keperluan mengekalkan keluasan kawasan pengeluaran makanan 10% bagi guna tanah sumber makanan negara.

“Ini setelah mengambil kira hasil kajian yang menunjukkan 19% pengurangan keluasan tanah pengeluaran makanan yang berterusan dan 62% kawasan pengeluaran makanan terdedah kepada risiko bencana.

“Mesyuarat turut membincangkan hala tuju keputusan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-139 berkaitan cadangan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi pengukuhan sekuriti bekalan makanan negara,” katanya.

MAFI berkata pelbagai platform sedia ada dan baharu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan keputusan-keputusan tersebut.

MAFI melalui kerjasama strategik dan kolaborasi berterusan dengan Kerajaan Negeri akan memperkasa sektor agromakanan negara untuk meningkatkan sekuriti bekalan makanan demi kesejahteraan pengeluar makanan dan keseluruhan Keluarga Malaysia selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).