KUALA LUMPUR, 22 Sept – Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bukan satu ancaman kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kemunculan GTA dalam landskap politik tanah air tidak menggugat kedudukan Bersatu dalam PN mahupun khemah besar Pakatan Harapan (PH).

“Kehadiran GTA bagi kami tidak menggugat kedudukan Bersatu dalam PN kerana kami lihat pembawaan GTA tidak jauh beza dengan apa yang kami ada,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Sri Hartamas, di sini, hari ini.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, keupayaan PN diyakini mampu menambat hati pengundi dalam PRU15 susulan rekod prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cemerlang sebagai Perdana Menteri kelapan sebelum ini.

“Keupayaan PN terbukti sejak Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri, cukup menjadi modal awal untuk kita mengambil hati pengundi.

“(Prestasi PN) membuktikan kita boleh bentuk sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding PH dan BN,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Bersatu tidak akan memandang rendah dan sentiasa bersiap sedia untuk bertembung dengan GTA dalam PRU15.

“Saya rasa GTA kita raikan sebab ini demokrasi, tak boleh halang mana-mana tubuhkan parti dan pakatan.

“Cuma kita bersedia kalau kita bertembung, kita bertembung secara sihat sebagai lawan dalam pentas demokrasi,” katanya.