KUALA LUMPUR, 22 Sept – Isu pengguguran atlet daripada Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) tidak seharusnya dijadikan kontroversi memandangkan ia adalah satu proses biasa yang berlaku sejak diperkenalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan Program Podium ini sebagai ‘hidup’ dan proses mengekalkan ataupun menggugurkan atlet itu tentunya diputuskan selepas MSN membuat penilaian rapi bersama persatuan sukan kebangsaan.

“Jelas, perkara ini akan berlaku tetapi MSN tidak bertindak sendirian. Apa yang jelas, hasil daripada keputusan ini adalah dengan kerjasama bersama persatuan sukan kebangsaan.

“Selepas itu, baru buat keputusan mengenai pengguguran dan sebagainya. Perkara ini akan dihadapi sepanjang masa,” kata Ahmad Faizal dalam sidang media selepas Majlis Santai bersama Ketua Syarikat Pemain Industri Sukan Malaysia dan ‘soft launch’ Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022, hari ini.

Semalam, atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengesahkan dirinya digugurkan daripada Program Podium menerusi akaun Instagram miliknya.

Katanya, walaupun kontraknya ditamatkan bermula 30 Jun, dia hanya dimaklumkan sehari selepas itu dan surat penamatan kontrak hanya diberikan pada 22 Ogos lalu.

Atlet yang pernah beraksi tiga kali di Sukan Olimpik bermula edisi 2012 di London, 2016 di Rio de Janeiro dan 2020 di Tokyo itu berkata: “Terima kasih juga dan semoga mendapat cari bakat seperti diinginkan.

“Pesanan buat atlet sukan memanah di Malaysia, kita sukan tak ‘famous’ (kurang popular) bila hal macam ini tidak ada orang ambil peduli.

“Dalam kita-kita sahaja yang kisah. Menang sahaja kena angkat, nombor dua atau tiga buang sahaja kena cari bakat baru. Kontrak ditamatkan serta merta tanpa notis awal,” katanya.