KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) serta Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara komited dalam memperkasakan usaha menyelamatkan mangsa-mangsa warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga berkata beliau komited membawa mangsa penipuan itu pulang ke tanah air dengan selamat.

Dalam pada itu, Saifuddin turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sedang memangku tugas Menteri Luar Negeri Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta seluruh Jemaah Menteri yang telah meneliti dan membincangkan isu tersebut semalam.

“Pada 19 September, saya telah mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama Duta-Duta Besar dan Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam bagi mempersiapkan nota mesyuarat untuk Latiff menerangkannya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kami juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berkala dan meningkatkan penerangan media bagi isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata susulan Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan dengan keanggotaan pelbagai agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha KLN untuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkenaan pada hari ini.