JITRA, 22 Sept – Kerajaan tidak bercadang menyekat aktiviti melancong ke luar negara termasuk Thailand biarpun keadaan itu dikhuatiri memberi kesan buruk kepada nilai ringgit dalam tempoh jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata situasi itu bagaimanapun boleh diseimbangkan dengan promosi yang lebih agresif daripada pemain industri tempatan untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara melancong ke Malaysia.

Katanya, ia adalah cabaran besar untuk semua pihak memastikan aliran keluar wang tidak akan menjejaskan ekonomi negara terutama pasca pandemik COVID-19.

“Kita tidak sekat rakyat melancong ke Thailand namun yang penting kita menggalakkan mereka turut melancong dalam negara… yang penting adalah promosikan tarikan pelancongan dalam negara kita ini.

“Ini termasuk memberi motivasi kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka lebih agresif, orang kita suka ke Thailand dan sebagainya jadi kita kena mempergiatkan promosi. Kita nak jika (wang) keluar banyak, yang masuk pun banyak ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Transformasi Komuniti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Dewan Kolej Height Utara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata pihaknya tidak menafikan pendapatan dalam sektor pelancongan juga terkesan dengan penyusutan ketara kemasukan pelancong dari luar negara terutama China.

“Sebelum COVID-19, kita mencatatkan kemasukan 27 juta (pelancong) dalam 2019 yang datang ke Malaysia tetapi setakat ini tiga juta yang datang ke Malaysia. Daripada 27 juta ke tiga juta merupakan penurunan yang sangat ketara.

“Keutamaan kita adalah untuk tambah kemasukan pelancong asing untuk menyeimbangi rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara. Oleh kerana pelancong asing ini berkurang ketara kita kena kerja keras.

“Kita juga kehilangan pelancong dari China kerana dasar sifar COVID-19 yang tidak membenarkan rakyatnya melancong ke luar. Jadi kita kena promosikan sektor pelancongan dan destinasi pelancongan kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mencadangkan kementerian berkaitan lebih agresif mempromosikan barangan tempatan untuk menambah sumber pendapatan negara.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan yakin dapat mencapai sasaran sifar miskin tegar pada penghujung 2025 dengan pendekatan baharu yang lebih holistik dalam pelaksanaan projek rintis untuk meningkatkan pendapatan golongan itu.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai dengan kesungguhan kerajaan meningkatkan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi membantu golongan itu keluar daripada garis kemiskinan berkenaan.

“Projek rintis di 80 lokaliti untuk membantu golongan sasar telah pun selesai bagi fasa pertama tahun ini manakala sebanyak 110 lokaliti terlibat bagi fasa kedua projek rintis berkenaan yang akan bermula pada pertengahan Oktober depan dengan sasaran dapat membantu kira-kira 5,000 ketua isi rumah,” katanya.