SEBERANG PERAK, 22 Sept – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM22 juta kepada pesawah yang terjejas akibat pelbagai bencana tahun ini, melalui Tabung Bencana Tanaman Padi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bantuan itu disediakan kerajaan secara tahunan, bagi membantu mengurangkan kerugian yang dialami pesawah akibat bencana seperti banjir, yang dihadapi tanaman padi.

“Kerajaan sentiasa mengeluarkan dana akibat banjir dan kemarau yang dialami pesawah dan juga pengusaha negara melalui dana tabung bencana alam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang melakukan persediaan awal, ketika menjawab persediaan berkenaan musim tengkujuh yang dijangka melanda pada hujung tahun ini.

“Melalui pengalaman yang lalu, MAFI lebih bersedia berbanding tahun lalu dengan gerak kerja dan bilik gerakan bagi membantu mengurangkan impak yang dialami oleh pengusaha-pengusaha dalam sektor agro makanan,” jelasnya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak hari ini.