SUNGAI PETANI, 23 Sept – Usaha membudayakan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian seharusnya menjadi tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia bukan sahaja memberi nilai positif terutama melibatkan faktor kesihatan namun, lebih penting bagaimana aktiviti sukan mampu menyumbang kepada pendapatan serta ekonomi negara.

“Contoh paling mudah adalah penggunaan peralatan sukan. Misalnya, tadi apabila kita berbasikal, kita bukan sahaja memerlukan basikal tetapi juga memerlukan peralatan lain termasuk baju sukan, kasut, botol air, helmet dan macam-macam lagi.

“Jadi, inilah yang dikatakan sukan bukan sekadar untuk menjadi sihat tetapi ia memberi impak yang sangat besar kepada banyak cabang industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Sejahtera Prihatin Negara di Dataran Amanjaya Mall, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ahmad Faizal berkata komitmen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pastinya adalah untuk terus mensejahterakan kehidupan rakyat dan secara tidak langsung mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

“Mudah-mudahan kita menjadikan aktiviti sukan dan riadah sebagai rutin.

“Perlu diingat, selain sukan dapat memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan kesihatan, ia juga merupakan medan terbaik menyatukan ukuhwah sesama kita,” katanya.