Hari ini Setiausaha Politik Perdana Menteri, Syed Fazmi Sayid Mohammad, menyanggah kenyataan saya mengenai tahap kepuasan hati rakyat terhadap Perdana Menteri yang rendah.

Kenyataan saya itu adalah berasaskan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre for Opinion Research yang mendapati purata tahap kepuasan hati rakyat terhadap Perdana Menteri hanyalah 45%.

Beliau tidak percaya kajian sentimen rakyat oleh Merdeka Centre yang menggunakan sampel 2,000 ke 3,000 orang boleh menggambarkan sentimen 32 juta rakyat Malaysia.

Maafkan saya. Mungkin Syed Fazmi tidak begitu memahami ‘the logic of sampling’. Kalau beliau mendalami ilmu statistik dan kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah persampelan, beliau akan lebih faham.

Beliau juga berkata Merdeka Centre silap ketika membuat andaian mengenai kemenangan Barisan Nasional dalam PRU-14. Jadi kajiannya mengenai sentimen rakyat terhadap Perdana Menteri tidak boleh diguna pakai.

Saya tidak fikir kajian itu silap. Mungkin tafsirannya sahaja yang agak terkhilaf.

Kenapa saya berkata demikian?

Kerana pada tahun 2017, saya juga menggunakan data kajian Merdeka Centre sebagai sebahagian daripada rujukan saya ketika membuat kajian mengenai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU-14.

Berdasarkan kajian saya itu, saya menjangkakan BN hanya boleh menang maksima 100 kerusi Parlimen dalam PRU-14. Ternyata dalam pilihanraya itu, BN hanya menang 79 kerusi Parlimen.

Boleh baca hasil kajian tersebut dalam artikel saya bertajuk “Najib doesn’t have GE 14 in the bag” yang disiarkan pada 18 Oktober 2017 di The New Mandala, sebuah portal online yang diselenggara oleh Australian National University (https://www.newmandala.org/najib-doesnt-ge14-bag/).

Kajian tidak silap, cuma tafsirannya sahaja mungkin berbeza.

Setiausaha Politik Perdana Menteri juga berkata tidak mungkin Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi kerana angka-angka menunjukkan sebaliknya. Kadar pengangguran rendah iaitu 3.8% sahaja manakala inflasi pula terkawal.

Ini suatu kenyataan yang amat berbahaya. It is bordering on denial syndrom which led to the defeat of Barisan Nasional in GE14.
Kenapa saya kata begitu?

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 29 Ogos 2022, kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 4.4% pada bulan Julai 2022, berbanding 3.4% pada bulan Jun. Inflasi makanan adalah yang paling tinggi, iaitu 6.9%.

Kerana itulah ramai yang merungut harga barang makanan semakin mahal. Dengan kejatuhan nilai ringgit, harga barang makanan dijangka meningkat lebih mahal kerana Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan dari luar negara.

Pada masa yang sama, akhbar The Edge baru-baru ini melaporkan Malaysia akan berhadapan dengan masalah fiskal yang meruncing untuk beberapa tahun akan datang. Negara kita mungkin terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan mengurus, termasuk untuk membayar hutang (Sila baca: https://www.theedgesingapore.com/…/theres-no-free-lunch…)

Saya telah membaca laporan serupa mengenai kedudukan fiskal negara yang disediakan oleh Kementerian Kewangan ketika berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri suatu masa dahulu. Saya boleh sahkan laporan The Edge itu adalah tepat.

Ini bermakna, ruang fiskal kerajaan pada tahun-tahun mendatang akan menjadi lebih terhad dan saya jangkakan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi, termasuk subsidi bahan api dan makanan, akan dikurangkan. GST juga mungkin akan diperkenalkan semula untuk menambah hasil kerajaan yang semakin susut.

Kehidupan rakyat, terutamanya golongan B60 pastinya akan terjejas. Pada masa ini pun telah ada yang mengikat perut dan lewat membayar bil dan hutang.

Lebih menyulitkan keadaan, sepertimana yang diakui oleh Menteri Kewangan, negara kita akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan pada tahun hadapan. Jadi, angka pertumbuhan ekonomi 8.9% pada suku kedua tahun ini mungkin tidak boleh bertahan pada tahun hadapan.

Apatah lagi pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.9% adalah berasaskan base yang rendah akibat pandemik dan pada masa ini banyak didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan (12%) dan perkhidmatan (9.2%), manakala sektor pertanian (-2.4%), pembinaan (2.4%) dan perlombongan dan kuari (-0.5%) masih rendah.

Angka-angka ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi adalah tidak sekata bagi semua sektor dan mereka yang terlibat dalam sektor-sektor yang pertumbuhannya adalah rendah masih perlu berjuang untuk hidup. Ini tidak termasuk masalah kos operasi perniagaan yang semakin meningkat.

Kita tidak boleh terlalu taksub dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi untuk menggambarkan kejayaan kerajaan mengurus ekonomi negara. People don’t eat GDP. They eat food on their table.

Kalau saya pegawai Perdana Menteri, saya akan teliti kajian Merdeka Centre secara lebih terperinci dan membaca semua laporan Jabatan Perangkaan, Bank Negara, Kementerian Kewangan dan kertas-kertas yang dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Pemulihan Negara.

Baca dan hadam semua ini. Selepas itu saya akan berjumpa Perdana Menteri dan berkata kepada beliau, “Sir, we are in deep trouble. Don’t rest on our laurel. We must buck up or off we go!”

Ini bukan masanya untuk terperangkap dalam “denial syndrom”.

Penulis Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.