NIBONG TEBAL, 23 Sept – Ketua Bahagian BERSATU Nibong Tebal, Yaakob Osman membidas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Yaakob mendakwa Ahmad Zahid seorang yang gagal apabila beliau antara Presiden UMNO yang gagal menjadi perdana menteri.

“Presiden UMNO yang paling gagal ialah Zahid.

“Mana ada Presiden UMNO yang tak jadi PM? Zahid sorang saja,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataannya meminta Muhyiddin ‘cermin diri’ sebelum menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di platform media sosial.

Ahmad Zahid berkata negara berdepan kegagalan teruk semasa beliau (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Ahmad Zahid menambah tindakan Pengerusi MPN itu ‘menyerang’ Perdana Menteri di platform media sosial membuktikan sebuah ketidakstabilan.

Baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh secara terbuka membidas kepemimpinan Ismail Sabri, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

Muhyiddin berkata, setiap kali MPN bermesyuarat, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun setakat ini masih belum ada penyelesaian komprehensif terhadap semua isu itu.

Dalam pada itu, Yaakob meminta Ahmad Zahid mencerminkan dirinya dalam keputusan kes 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui hari ini.

“Hari ini keputusan 40 kes salahguna kuasa.

“Cermin lah diri tu Zahid,” katanya.