CYBERJAYA, 23 Sept – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Pelbagai bentuk program pembangunan dilaksanakan demi membantu penjanaan pendapatan khususnya dalam kalangan penerima bantuan JKM seperti 2 Years Exit Programme (2YEP).

Konvensyen 2YEP JKM tahun 2022 telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Multimedia Cyberjaya (MMU) di sini, pada Khamis.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada peserta Program 2YEP mengenai keusahawanan dan perusahaan sosial serta perkongsian pengalaman untuk membina dan mengembangkan perniagaan.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun itu menyaksikan seramai 14 orang peserta Program 2YEP JKM dari seluruh negara yang kini bergelar usahawan menerima sijil penghargaan, plak dan surat tawaran bagi mengikuti Program Bimbingan Keusahawanan Semarakkan Komuniti Bisnes JKM dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).

Peserta akan diberikan latihan dan usahawan yang memenuhi kriteria boleh dipertimbangkan pembiayaan di bawah Pakej SemarakNiaga.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Puan Rosmahwati Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), JKM dan pegawai-pegawai kementerian serta jabatan.

KPWKM berharap penglibatan sektor swasta dan kerajaan melalui pemberian modal dan dana perniagaan yang bersesuai mampu membantu kumpulan sasar kementerian untuk memperkasakan taraf sosioekonomi rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan.