TANAH MERAH, 24 Sept – Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai dilakukan ketika musim banjir memandangkan rakyat ketika itu sedang menghadapi musibah.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, berpandukan kepada ramalan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) banjir dijangka berlaku pada awal November depan ekoran Monsun Timur Laut.

Menurutnya, situasi memberikan kesukaran kepada proses berkenaan kerana sekolah akan dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

“Maka, kita mohon Parlimen tidak dibubarkan ketika rakyat berdepan dengan bencana alam, walaupun kita tahu ada desakan-desakan dari pimpinan parti politik.

“Waktu ini, bukan masa sesuai kerana rakyat sedang cuba menyelamatkan pelbagai harta benda dan tidak fikiran mereka juga tidak tenang,” katanya selepas menghadiri Program Bekwoh Kampung di Perala hari ini.

Ikmal Hisham memberitahu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah mempersiapkan aset-aset tertentu untuk kegunaan logistik sebagai persediaan untuk menghadapi banjir tahun ini.

Katanya, ATM mempunyai briged yang akan bertanggungjawab di negeri-negeri yang dijangka dilanda banjir.