PUTRAJAYA, 24 Sept – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mencabar Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wan Saiful berkata Asyraf boleh meminta sendiri Ismail untuk Parlimen dibubarkan dan tidak perlu menunding kepada partinya.

“Saya kadang-kadang malas nak layan pandangan ‘mangkuk’ ini.

“Sebab kalau dia nak ‘tekan butang’, dia sendiri minta perdana menteri bubar. Apa nak suruh orang lain tekan butang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Ulang Tahun BERSATU ke-6 di sini, hari ini.

Tambahnya, jika Asyraf tidak berani berbuat demikian, beliau tidak perlu menyuruh BERSATU untuk menarik sokongan terhadap Ismail.

“Kalau tak berani, tidak perlu suruh orang. Kalau berani buat sendiri,” katanya.

Pada 20 Sept lalu, Asyraf dalam kenyataan di Facebook berkata, jika Muhyiddin merasakan kerajaan hari ini tidak berjaya menguruskan ekonomi dan wujud keperluan bagi mengadakan Pilihan Raya Ymum ke-15 (PRU15), maka bekas perdana menteri itu boleh mengarahkan anggota Kabinet BERSATU menarik sokongan terhadap kerajaan.

Pada 19 Sept lalu, Muhyiddin menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Sehubungan itu, perdana menteri membalas kenyataan itu dengan menyatakan, jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) dipengerusikan Muhyiddin juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.