PUTRAJAYA, 24 Sept – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada penyokong serta pimpinan parti itu bahawa musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) nanti adalah Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ketetapan itu telah dibuat dalam parti-parti PN.

“Kita dalam PN sudah ada kesepakatan antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN

“Kalau ada kawan kata keadaannya begini-begini, nanti lepas esok mana mana kita nak buat. Itu startegi yang cukup salah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ulang Tahun ke-6 BERSATU hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN tidak perlu gentar untuk berlawan dengan BN pada PRU15.

Beliau berkata apa yang penting adalah untuk PN menyelamatkan kerajaan.

“Ada beberapa rakan datang jumla saya di pejabat, tanya lawan ke tak dengan Umno.

“Lawan ke tak lawan,” katanya sambil diiringi jawapan penyokong BERSATU yang ingin ‘lawan’ dengan BN.

Muhyiddin juga enggan mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga berkata tidak kisah sekiranya Umno mahu bertanding di semua kerusi dalam PRU15.

Sementara itu, di dalam sidang medianya, Muhyiddin berkata perbezaan pandangan dengan PAS buat masa ini ‘dibenarkan’ berikutan ia dibuat sebelum pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila hampir dengan pilihan raya ini, PN akan mengambil keputusan bersama.

“Itu tidak mengapa sebab PAS beri pandangan sebegitu sebelum pilihan raya.

“Sekarang ini ialah masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang dia patut buat,” katanya.