KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan parti-parti yang mendokong ideologi kiri.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata DAP dan PKR jelas melaungkan agenda kiri berteraskan sosialisme.

“DAP hingga hari ini perkaderannya mesti melalui DAP Socialist Youth.

“Agenda kiri yang mereka bawa amat tidak sesuai untuk negara kita yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman dengan prinsip kebebasan dan keadilan sebagai terasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Taklimat Tertutup Penggerakan Jentera Pilihan Raya dan Perbincangan Isu-Isu Semasa di Bahagian BERSATU Lembah Pantai, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Ir Zainal Ariffin Osman.

Wan Saiful berkata ini membuka ruang untuk BERSATU memposisikan parti sebagai parti pertengahan kanan (centre right) iaitu ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan.

“Sosiopolitik berteraskan konservatisme yang berpegang dengan agama dan adat tatasusila kita sebagai orang Timur.

“Dan penjagaan kebajikan rakyat berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemakmuran yang dikongsi bersama oleh warga pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata BERSATU perlu memastikan parti itu mempunyai tawaran yang jelas untuk rakyat bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, bercakap mengenai keburukan atau kelemahan orang lain belum cukup untuk bawa kemenangan kepada partinya.

“Sebaliknya, BERSATU mesti jelaskan apa yang kita tawarkan yang berbeza dengan orang lain.

“Dan sebenarnya memang ada pembeza yang jelas,” katanya.

Mengenai UMNO, Wan Saiful berkata parti itu telah menjadi sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata.

Katanya, fokus mereka masih lagi merompak harta rakyat.

“Ini disebut jelas oleh Zahid Hamidi apabila dia menggesa supaya orang UMNO “ambil mana-mana yang sempat” semasa ada kuasa.

“Mentaliti rasuah dan kleptokrasi mengakar kukuh dalam UMNO,” katanya.