KUALA LUMPUR, 25 Sept – Tidak mustahil BERSATU boleh mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Ir Zainal Ariffin Osman berkata ini berikutan persediaan yang rapi telah dilakukan parti itu bagi menghadapi PH.

“Dari segi persediaan kami telah menggerakkan kita punya jentera pilihan raya termasuk ke semua Pusat Dalam Mengundi (PDM).

“Kita akan tubuhkan satu jawatankuasa di semua peringkat. Ini kita kata sudah siap siaga menggempur kawasan Parlimen Lembah Pantai yang memang boleh dikatakan satu kubu kuat kepada PH dan PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Tertutup Penggerakan Jentera Pilihan Raya dan Perbincangan Isu-Isu Semasa di Bahagian BERSATU Lembah Pantai hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Seramai 400 ahli BERSATU dan penduduk-penduduk di Lembah Pantai hadir pada program itu.

Zainal berkata BERSATU juga telah membuat analisa dan culaan di Lembah Pantai.

Beliau yakin pengundi Melayu seramai 60 peratus akan berpihak kepada BERSATU pada PRU15.

“Dari segi komposisinya 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu.

“Kita juga mampu menarik dalam berapa peratus undi bukan Melayu untuk memenangi PRU15,” katanya.

Tambahnya, BERSATU juga memerlukan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

“Justeru kita buat macam-macam program dan macam-macam bantuan khidmat kepada warga Lembah Pantai mulai 2017.

“Semasa kita ditubuhkan, tidak henti-hentu buat program supaya naikkan nama BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita yakin boleh tembusi kubu kuat PKR,” katanya.