KUALA LUMPUR, 26 Sept – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dijadualkan menghadiri Upacara Pengebumian Negara untuk mendiang bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada 27 September ini di Nippon Budokan, Tokyo.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan media, berkata Mohamed Azmin akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kenyataan itu menyebut, Mohamed Azmin akan diiringi oleh pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sewaktu upacara itu.

“Upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi.

“Ia disusuli pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah isteri Abe, \Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo,” katanya.

Wisma Putra berkata, sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri Jepun, tiga kali Abe mengadakan lawatan ke Malaysia dan bekas pemimpin utama negara matahari terbit itu berperanan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Katanya, lawatan terakhir Abe ke Malaysia adalah selaku Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT.

Kenyataan itu menyebut, pada kunjungan berkenaan, Abe mengadakan pertemuan dengan Perdana

Menteri Malaysia dan majlis menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mac 2022.

Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk seri Saifuddin Abdullah, juga sebelum ini menandatangani buku takziah penghormatan di Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur, pada 13 Julai lalu.

Abe disahkan meninggal dunia selepas beliau ditembak pada acara kempen pilihan raya, pada 8 Julai lalu, di sebuah bandar di Nara.

Bekas pemimpin itu yang berusia 67 tahun, ketika itu menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya apabila ditembak dari arah belakang.