MENARIK untuk diperbincangkan apabila Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) menyatakan dengan tegas bahawa BN merupakan musuh sebenar berbanding parti lain terutama PH yang menurutnya terpulang buatlah apa yang mereka suka.

Sangat bermakna namun bukanlah teka teki dan tidaklah mengejutkan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu walaupun mungkin tidak disenangi beberapa pihak.

Presiden BERSATU itu mengeluarkan kenyataan deminkian semasa ucapannya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-6 BERSATU yang dihadiri oleh pimpinan dan ahli-ahli BERSATU di Putrajaya Ahad lalu.

Saya berpendapat bahawa kenyataan itu cukup jelas bagi memberi mesej BERSATU ditubuhkan adalah untuk menentang kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam parti UMNO ketika PRU 14.

Sikap tidak kompromi TSMY juga merujuk mana-mana pihak yang cuba untuk membuat hubungan dengan UMNO yang jelas digambarkan parti yang boleh merosakkan negara melalui beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang ingin menyalahgunakan kuasa mereka jika diberi peluang berkuasa.

Presiden BERSATU itu juga berasa kesal dan kecewa dengan tindakan UMNO yang dilihat tidak ikhlas dan jujur dengan perjanjian persefahaman setelah BERSATU merestui UMNO untuk memimpin kerajaan malah bersetuju Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

TSMY juga ada menyebut tentang kekecewaannya setelah UMNO indah khabar dari rupa apabila bertindak mengantikan jawatan-jawatan penting dalam kalangan pemimpin BERSATU menjadi milik mereka. Itulah wajah rakus kuasa UMNO, katanya lagi.

Namun kenyataan TSMY itu telah menimbulkan reaksi hangat dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN UMNO dan mungkin kepada pihak-pihak yang masih terhegeh-hegeh membuat rundingan strategi bersama parti itu yang sebelum ini dengan tegas akan bertanding secara solo.

Sebenarnya kenyataan tegas TSMY itu memberi semangat moral tambahan kerana rakyat dengan jelas menolak parti yang sudah terpalit dengan pelbagai skandal dan salah laku. Sebelum inipun PN rela berkongsi berkuasa bersama UMNO kerana janji mereka untuk memastikan parti itu tidak dipengaruhi oleh pemimpin kleptokrasi atau kluster mahkamah.

Malah selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara ( MPN) nasihat dan pandangan TSMY kepada kerajaan tidak dipeduli dan hanya dipandang sepi.

Penulis adalah Kamarozaman Ahmad, Ketua Penerangan BERSATU Balik PulauIni pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.

Share this page to Telegram