NIBONG TEBAL, 26 Sept – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menjalankan pemeriksaan awal dan penilaian terhadap semua aset-aset kementerian itu sebagai persiapaan menghadapi banjir ketika musim Monsun Timur Laut.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pemeriksaan dan penilaian itu bagi memastikan semua aset terutama rumah pam, pam-pam dan pintu air dapat berfungsi dengan baik serta berjalan lancar.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) beri amaran awal yang dikatakan hujan lebat bermula sekarang dan kami di KASA telah mengambil langkah awal memeriksa aset-aset kita, kerana ini mustahak yang perlu dikawal selia dan buat penilaian selalu bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Kita telah periksa rumah-rumah pam, pam-pam, pam-pam di pintu masuk, bagi memastikan semuanya lancar, kita tak nak berlaku macam di Taman Seri Muda (Selangor) ada masalah sedikit (berlaku banjir teruk) dan kali ini KASA bersedia lebih awal.

“KASA juga telah mengenal pasti lebih 6,000 kawasan yang dijangka berlaku banjir dan akan memberi lebih perhatian di lokasi yang terlibat itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Denai Sungai Kebangsaan di Kampung Chenaam, Sungai Ayer Hitam pada Ahad.

Denai yang dibina sejak tiga bulan lepas itu telah siap dengan kos pembinaan lebih RM380,000.

Ia dipercayai mampu menjadi nilai tambah kepada golongan nelayan di kawasan tersebut dan pada masa sama menjadi kawasan riadah serta pelancongan kepada orang ramai.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pagi Sabtu, Mansor berkata, kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat dan sistem perparitan di kawasan tersebut tersumbat.

“Hujan lebat yang direkodkan di Stesen Sungai Ara ialah 72.5mm dan air di dua sungai iaitu Sungai Bayan Lepas serta Sungai Tiram melimpah, menyebabkan beberapa kawasan di situ termasuk LTAPP mengalami banjir kilat, di lapangan terbang pula diburukan lagi dengan longkang tersumbat jadi air tidak boleh keluar dari situ,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi langkah jangka pendek mengatasi masalah banjir di LTAPP itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi terlibat memastikan sistem perparitan di kawasan tersebut tidak tersumbat.

Pada Sabtu, Kerajaan Pulau Pinang berharap pihak berkuasa berkaitan lapangan terbang seperti Malaysia Airport dan JPS, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, dapat membincangkan serta bekerjasama untuk penyelesaian jangka panjang terhadap LTAPP yang dilanda banjir kilat.