SEMPORNA, 26 Sept – Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan termasuk dana melalui Agrobank yang boleh dimanfaatkan pemain industri perikanan laut dalam memodenisasi kapal serta mekanisasi tangkapan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata inisiatif itu bukan sahaja sebagai membantu pemain industri tetapi menarik lebih ramai pihak untuk meneroka sektor perikanan laut dalam.

“Dana ada disediakan kerajaan melalui Agrobank dan kita harap pemain industri memanfaatkan bantuan itu.

“Kita menumpukan industri perikanan laut yang belum diterokai sepenuhnya, perkara ini selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 bukan sahaja untuk kelangsungan bekalan makanan tetapi turut membuka peluang untuk mengeksport sumber perikanan laut dalam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kilang pemprosesan dan bilik sejuk beku ikan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya industri perikanan tuna mempunyai potensi besar sebagai sumber kekayaan baharu Sabah tetapi belum diterokai sepenuhnya.

“Perairan Sabah ini kaya dengan sumber perikanan laut dalam yang masih belum diterokai, tuna ini berhijrah, malang tidak ditangkap, ia sumber ekonomi yang besar untuk menambah hasil pendapatan negeri,” katanya.

Berdasarkan pencapaian pada tahun ini Malaysia merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 55,138.63 tan metrik bernilai lebih RM491 juta dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata kerajaan melalui pihaknya menyediakan RM150 juta dana pada tahun ini untuk membantu pemain industri perikanan.

“Pada fasa pertama (tahun ini), setakat ini kita menerima serta meluluskan 37 permohonan dan sudah mengagihkan RM132 juta kepada pelanggan untuk membiayai bot nelayan dari segi modenisasi yang nak tukar daripada kapal kayu kepada fiber dan beli peralatan.

“Bagi fasa kedua, sebanyak RM200 juta dana disediakan pada tahun hadapan,” katanya

Beliau berkata Agrobank mengalu-alukan permohonan nelayan di negara ini dan bersama mengembangkan industri perikanan ke arah mencapai skim saraan makanan mencukupi untuk kegunaan rakyat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.