KUALA LUMPUR, 26 Sept – Fasa dua Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dijadualkan bermula dua minggu lagi, membabitkan 110 lokaliti di seluruh negara dan penyertaan kira-kira 10,000 ketua isi rumah (KIR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengalaman melaksanakan fasa satu BMTKM akan digunakan bagi menambah baik setiap aspek program untuk mencapai objektif menghapuskan miskin tegar menjelang akhir 2025.

Beliau berkata, masalah kerenah birokrasi dalam pelaksanaan BMTKM sebelum ini sudah selesai, dengan kerjasama banyak pihak termasuk beberapa kementerian berkaitan.

“Ketika ini, perolehan (peralatan) sudah berjalan dengan baik, cuma di beberapa kawasan ada masalah mahu mendapatkan barang.

“Sebagai contoh, pembelian bot dan enjin bagi nelayan. Kita difahamkan ada sesetengah tempat perlu menunggu tiga bulan untuk mendapatkan bot dan enjin.

“Jika (mendapatkan) mesin jahit, dua minggu sudah boleh dapat, sekejap saja tapi ada beberapa perkara yang memerlukan masa dan tiada kaitan dengan kerenah birokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama KIR BMTKM Fasa 1 2022 di sini, pada Ahad. Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Bulan lalu, Mustapa dilaporkan berkata kerenah tertentu di peringkat pusat dan kerajaan negeri antara cabaran dihadapi bagi projek rintis fasa pertama BMTKM yang bermula Jun lalu.

Mustapa berkata, sebanyak 67 lokaliti dalam fasa satu program rintis BMTKM membabitkan 1,409 KIR dan kos RM16.3 juta sudah memulakan program dengan penyediaan kursus motivasi dan latihan spesifik.

Katanya, KIR di bawah program itu akan dipantau setiap bulan bagi melihat perkembangan mereka dan melaksanakan langkah pembetulan jika wujud kelemahan.

“Apa yang penting adalah pemprofilan terperinci miskin tegar dan pendapatan. Kita perlu pantau peserta untuk melihat kelemahan seperti tidak buat (perniagaan) atau menjual barangan (yang diberikan). Ini akan dilakukan setiap bulan.

“Dulu pemantauan tidak kemas. Sekarang, pemantauan cukup mantap dan jika di Wilayah Persekutuan ini, dengan pembabitan pengerusi persatuan penduduk dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.