JOHOR BHARU, 26 Sept – BERSATU Johor menyangkal dakwaan Timbalan Ketua UMMO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membantu di dalam menyuarakan cadangan atau syor bagi pemulihan ekonomi untuk kerajaan.

Setiausaha BERSATU Badan Pimpinan Negeri Johor, Uzzair Ismail berkata tindakan Nur Jazlan ini lebih umpama meludah ke langit dan tidak cermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain.

“Perbuatan ini kelihatan lebih kepada ingin menutup pekung sendiri kerana tidak lagi mendapat sokongan daripada rakyat di Parlimen Pulai.

“Seharusnya Nur Jazlan cermin dirinya sama ada telah membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan di kawasan diwakilinya selaku Ketua UMNO Bahagian Pulai memandangkan kerajaan Johor semasa telah diterajui oleh Menteri Besar daripada UMNO terutamanya di dalam isu banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Uzzair menyarankan Nur Jazlan Mohamad menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi permasalahan rakyat.

Katanya, Nur Jazlan tidak perlu tunggu menjadi ahli Parlimen semula untuk memandang serius perkara itu.

Mengulas lanjut, Uzzair berkata Muhyiddin telah menyuarakan kebimbangan mengenai ekonomi negara dan mencadangkan beberapa perkara termasuk melaksanakan moratorium untuk
perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Katanya, cadangan memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing bagi merancakkan semula sektor ekonomi Malaysia juga dicadangkan Muhyiddin dalam MPN.

Bagaimanapun, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap permasalahan negara dan lebih terarah kepada berkenaan isu tarikh pembubaran Parlimen.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya lebih fokus dalam isu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi negara terutamanya di dalam bidang ekonomi.

“Sebagai bukti, beliau dilihat lebih terkehadapan di media berkaitan isu pembubaran parlimen berbanding isu-isu atau inisiatif yang ingin dilaksanakan Kerajaan untuk memulihkan nilai Ringgit Malaysia dan ekonomi,” katanya.

Tambahnya, ini sekali gus membidas dakwaan Nur Jazlan bahawa Muhyiddin gagal membantu memulihkan ekonomi negara.

Katanya, Muhyiddin telah menyampaikan pandangan berdasarkan kepada laporan-laporan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Jemaah Menteri untuk dicadangkan kepada Perdana Menteri bagi diambil pertimbangan.

“MPN tidak mempunyai kuasa melaksana bagi setiap cadangan tersebut, sebaliknya ia terletak di dalam bidang kuasa Perdana Menteri sama ada mahu menerima cadangan tersebut atau tidak.

“Hal ini sekali gus menyangkal dakwaan dan tohmahan bahawa Pengerusi MPN tidak membantu memulihkan ekonomi negara sedangkan beliau sudah melaksanakan perkara yang telah diamanahkan,” katanya.