KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pengekalan status Pro Series membabitkan perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam kalendar perlumbaan 2023 hingga 2025, disifatkan satu perkembangan positif buat sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung bakal menarik lebih ramai pelumba-pelumba basikal antarabangsa, untuk turut serta dalam perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia itu yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober depan.

Beliau berkata, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan sentiasa berusaha bagi memastikan LTdL dapat terus mengekalkan status Pro Series itu.

“Harapan saya lebih banyak pihak dapat memberikan kerjasama daripada segi penajaan, supaya pasukan-pasukan ternama dunia akan menjadikan LTdL sebagai satu sirkit yang mereka wajib sertai,” katanya selepas menyaksikan Kejohanan KBS MyLadies PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) 2.0 di Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), yang menerima permohonan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi mengekalkan status Pro Series LTdL pada Khamis lepas.

Ahmad Faizal berkata, penyertaan enam pasukan World Tour seperti Lotto Soudal, Movistar, Cofidis, EF Education-Easypost dan Astana Qazaqstan, juga membuktikan perlumbaan berbasikal itu terus mendapat perhatian pasukan ternama dunia.

“Jika diikutkan ini penyertaan tertinggi pasukan World Tour dan ia merupakan satu kebanggaan buat kita semua selain membuktikan LTdL satu temasya yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada Kejohanan KBS PUBGM 2.0 itu, pasukan Rage Unleashed Sassy dinobatkan selaku juara selepas meraih 90 mata, sementara naib johan milik The Gringos Esports (87 mata) dan Jabbybabby (77 mata) di tempat ketiga.

Kejohanan itu merupakan inisiatif KBS bagi meningkatkan penyertaan komuniti e-sukan wanita, selaras dengan hasrat dan aspirasi yang digariskan di bawah Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2022-2025.