MELAKA, 26 Sept – Semua individu berhak untuk menawarkan diri mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, termasuk kesediaan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekali lagi.

Naib Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ini kerana keputusan itu akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat.

Bagaimanapun beliau berpandangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu seharusnya memberi laluan kepada calon yang lebih muda.

“Kita tahu tahap kesihatan Tun sering memberi cemas bukan saja penyokong parti beliau tetapi .. Walaupun berbeza parti rakyat Malaysia masih ramai yang kasih dan sayang kepada Tun. Jadi kita dapat makluman Tun banyak kali dikejarkan ke hospital untuk dapat rawatan berkaitan kesihatan beliau.

“Pandangan saya, kalau boleh saya nak minta ayahanda Tun beri ruang kepda pemimpin yang lebih muda daripada beliau untuk menerajui negara kita. Kalau beliau beri peluang banyak calon yang lebih muda boleh melakukan yang terbaik untuk negara kita.

“Tun dah jadi PM hampir 24 tahun. Pandangan saya tanpa menjejaskan rasa hormat saya, saya pohon kalau boleh boleh Tun berilah peluang kepada yang lebih muda untuk menerajui negara kita pada PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Futsal Parlimen Tangga Batu di Kompleks Sukan Batu Berendam, pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, kewibawaan Ahli Parlimen Langkawi yang juga perdana menteri keempat dan ketujuh itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan memandangkan beliau pernah menggalas tanggungjawab itu selama 22 tahun.

Namun beliau percaya, dengan situasi dan rentak politik masa kini, lebih ramai calon lain khususnya yang lebih muda dapat melakukan yang terbaik untuk negara.

Terdahulu, Dr Mahathir menyatakan kesediaan menjadi perdana menteri sekali lagi sekiranya tiada pilihan calon lain yang sesuai dan sekiranya beliau memegang jawatan itu buat kali ketiga, ia bukanlah untuk tempoh lima tahun, mungkin hanya untuk setahun.

Begitupun, beliau mengakui ramai mahu beliau menjadi calon perdana menteri sekali lagi sekiranya berjaya memenangi PRU15 namun beliau masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak jawatan tersebut.