MELAKA, 26 Sept – Spekulasi berhubung kemungkinan bertautnya kembali hubungan Muafakat Nasional (MN), melalui kerjasama antara UMNO dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat sukar menjadi kenyataan.

Naib Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Wira Mohd. Rafiq Naizamohideen mendedahkan, hal ini kerana syarat utama diletakkan kepemimpinan PAS berhubung perkara itu adalah kerjasama kedua-dua parti mesti melibatkan semua negeri.

Beliau berkata, berdasarkan syarat berkenaan, ia jelas bertentangan dengan aspirasi beberapa pemimpin UMNO terutama dari Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini ditadbir Menteri Besar PAS.

“Kenyataan daripada pemimpin PAS itu ada (kerjasama UMNO dengan PAS) tetapi saya difahamkan, kalau ada perundingan yang hendak dibuat ia mesti melibatkan semua negeri.

“Tetapi kita sudah lihat kenyataan daripada ketua-ketua parti (UMNO) di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu bahawa mereka akan mencabar dan cuba merampas negeri berkenaan.

“Bahkan kenyataan di Kedah sebagai contoh, saya hendak petik kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Baru-baru ini saya ada membaca kenyataannya, jelas bahawa UMNO yakin dapat merampas pentadbiran negeri daripada PAS.

“Kalau pemimpin yang mesra dengan Perdana Menteri pun sudah buat kenyataan macam itu, saya tidak nampak UMNO ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS,” katanya dalam sidang akhbar selepas program futsal di Kompleks Sukan Batu Berendam, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan, Ahli Parlimen Marang itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu.