KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerjasama antara Armada BERSATU dengan Dewan Pemuda PAS tetap akrab meskipun terdapat isu yang boleh dikaitkan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sayap kedua-dua parti itu masih boleh bekerjasama dalam apa jua keadaan ketika ini.

“Saya Timbalan Ketua Pemuda PN. Ketua Pemuda saya adalah yang berhormat Ustaz Fadli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Pemuda PAS Malaysia.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan beliau, kita tidak ada sebarang ketegangan…kita ikut arahan daripada parti induk.

“Jadi, kami buat kerja kami seperti biasa, kecuali ada arahan yang lain. Setakat ini tidak ada sebarang arahan yang tidak ada kerjasama atau sebaliknya, kita dalam satu saf untuk berdepan PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan Energy Abdolute Thailand (EA) di sini, pada Isnin.

Beliau menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dijadualkan menyempurnakan majlis tersebut.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebagai sayap BERSATU, Armada bersedia menerima apa sahaja arahan yang dikeluarkan oleh parti untuk persiapan pada PRU15.

Meskipun terpaksa bertembung dengan BN pada pilihan raya itu, mereka tetap akan bertanding meskipun bukan kemahuan BERSATU atau PN untuk berseteru dan perkara itu telahpun cuba untuk dielakkan.

“Jadi, kita kenalah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan…dengan Barisan ke (BN), dengan GTA (Gerakan Tanah Air) ke dengan PH ke kita ready saja, itu lumrah dalam politik bukan,” tambahnya.