KUALA LUMPUR, 27 Sept – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap peruntukan untuk kementeriannya ditambah sebanyak 30 peratus dalam Bajet 2023.

Jelas beliau, tambahan peruntukan dapat menyediakan lebih banyak program pemerkasaan wanita, sekaligus membantu kaum itu menjadi lebih berdaya saing.

“Sekurang-kurangnya dapat ditambah 30 peratus. Kita harap ada memang saya usulkan perkara ini bila jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kerana kalau kita saksama bantu wanita kita akan bantu keluarga, bantu tingkatkan ekonomi negara,” katanya ketika sidang media Pra Pelancaran Sidang Kemuncak kepimpinan Wanita Dunia 2023, di sini, hari ini.

Dalam masa sama beliau berharap peruntukan kepada kementerian lain yang mempunyai kaitan dengan usaha memperkasakan wanita ditambah.

“Kita sekarang kan di fasa pemulihan ekonomi, ada banyak lagi ruang untuk kita bantu perkasakan wanita.

“Jadi saya berharap ia bukan sahaja bajet untuk KPWKM secara khusus tetapi juga bajet kepada kementerian-kementerian lain yang berkaitan dengan wanita sebab di setiap kementerian ada penglibatan wanita.

“Kita nak pemerkasaan wanita, kepimpinan wanita dan dari segi ekonomi dapat ditingkatkan di samping sosio ekonomi,” tambah Rina.

Mengulas lanjut Rina berkata, antara cadangan yang telah dikemukakan oleh KPWKM kepada Kementerian Kewangan (MOF) adalah insentif untuk majikan atau ibu bapa untuk penjagaan anak.

Ujarnya, insentif ini bagi memberi peluang golongan ibu bekerja.

“Antara lain kita cadangkan kepada MOF, kita mahu Program Wanita Bangkit diteruskan.

Kedua, pemerkasaan Rang Undang-Unsang (RUU) Anti Gangguan Seksual yang kita harap dapat dilaksanakan bergantung kepada peruntukan bajet dan sebagainya

“Bagaimana kita nak bantu wanita, meneruskan kerjaya selepas keluar dari dunia universiti adalah kerana menjaga anak. Kita harap ada insentif-insentif diberikan kepada majikan atau ibu bapa kerana mereka kebanyakan lebih banyak mengambil keputusan menjaga anak daripada bekerja,” katanya.