KUALA LUMPUR, 27 Sept – Sebanyak lima badan sukan diberi penarafan lima bintang oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada Majlis Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Lima persatuan berkenaan adalah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persekutuan Wushu Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).

Selain itu, sebanyak 10 sukan diberi penarafan empat bintang iaitu Kelab Paintball Gerak Gempur Wira, Kelab Renang Ikan Bilis (1971), Persatuan Tarian Naga dan Singa Kedah, Persatuan Xiang Qi Negeri Sarawak (catur cina) dan Persatuan Skuasy Pulau Pinang.

Lima lagi adalah Kelab Taekwando Najmi (WTF), Persatuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Taekwando Negeri Perak (MGTF), Persatuan Badminton Negeri Perlis dan Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berharap badan sukan yang berjaya menerima penarafan bintang menjadi ‘role model’ kepada badan sukan lain untuk menyinar pada masa depan.

“Selagi KBS (Kementerian Belia dan Sukan) diterajui oleh kepimpinan yang berkaliber dan bertanggungjawab, Insya-Allah badan-badan sukan di negara ini akan terus dimartabatkan.

“Bagaimanapun, badan-badan sukan yang gagal menerima penarafan bintang hendaklah juga memainkan peranan lebih signifikan. Jadikanlah kejayaan badan-badan sukan lain sebagai kayu ukur untuk mencapai lebih kejayaan di masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut mengingatkan agar setiap persatuan memastikan semua ahli gabungan mereka ditadbir dengan baik mengikut perlembagaan masing-masing selain memberitahu KBS sentiasa membuka pintu untuk membantu mana-mana badan sukan yang memerlukan khidmat nasihat dan sebagainya.