PUTRAJAYA, 27 Sept – Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Sebaliknya, kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia hanya berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan dan setiap setiap perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk diluluskan sebelum dilaksanakan di peringkat kementerian.

“MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar ekonomi, sosial serta pendidikan, selain wakil parti pembangkang.

“Sebagai Pengerusi MPN, saya tidak mempunyai kuasa mengarahkan menteri, Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.

“Kuasa ini terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet. Skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan meneliti perakuan dikemukakan dan melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, segala yang diputuskan dalam MPN dibawa kepada kerajaan melalui memorandum kepada Jemaah Menteri dan 86 daripadanya yang diluluskan.

Bagaimanapun, beliau berkata, persoalannya ialah sama ada ia akan dilaksanakan selepas diluluskan.

“Pemulihan tidak akan berlaku dengan hanya meluluskan setiap perakuan, sebaliknya memerlukan tindakan susulan kerajaan, Perdana Menteri, agensi dan kementerian terbabit,” katanya.