KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi.

Muhyiddin melalui perkongsian di Facebook pagi ini, tidak menjelaskan butiran langsung perbincangan itu, namun menyatakan banyak perkara dipersetujui kedua-dua pihak hasil pertemuan itu.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna. Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN (Perikatan Nasional) dalam menghadapi PRU15,” katanya.

Selain Abdul Hadi dan Muhyiddin, pertemuan turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden BERSATU Malaysia, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.