PUTRAJAYA, 27 Sept – PAS akan memuktamad hala tuju sama ada mengekalkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau masih ada persefahaman dengan UMNO, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bayangan itu diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada pertemuan dengan kepimpinan BERSATU, semalam.

“Saya diberikan bayangan mungkin dalam tempoh terdekat PAS akan buat satu keputusan muktamad mengenai hala tuju di masa hadapan dalam PN atau sama ada apa lagi usaha yang nak dibuat dengan UMNO.

“Dia akan buat keputusan muktamad mungkin tempoh masa yang mereka kata tidak ada kaitan dengan UMNO,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada PAS untuk membuat keputusan berikutan tidak mahu PN yang diasaskan bersama PAS dilihat sebagai tidak kukuh, dan perlu mempunyai pendirian yang senada.

“Kita mesti ambil satu pendirian yang sama dalam semua perkara supaya tidak ada pertembungan kepentingan,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam soal kerjasama politik, UMNO sudah menyatakan pendirian enggan bekerjasama dengan BERSATU.

Beliau berkata, pihaknya akan menentang sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan PN dalam PRU-15.