PUTRAJAYA, 27 Sept – Hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 30 daripada 69 perakuan berkenaan masih dalam pelaksanaan, 14 lagi belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.

Antara perakuan utama dikemukakan MPN yang Muhyiddin sifatkan prestasi pelaksanaannya tidak memuaskan, termasuk berkaitan isu kekurangan tenaga kerja asing, terutama bagi Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

“Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuarat pada 2 Disember lalu memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.

“Tugas jawatankuasa ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari penyelesaian dengan segera. Namun, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan isu ini.

“Kekurangan tenaga kerja asing terus membelenggu industri PMKS,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau hairan dengan situasi itu kerana Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perakuan itu serta beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu industri PMKS yang diperakukan pada 14 April lalu, diangkat kepada Kabinet pada 18 Mei.

Justeru, bekas Perdana Menteri mempersoalkan adakah Kabinet tidak membincangkan perakuan penting MPN dalam mesyuaratnya selama lebih empat bulan atau MJM itu dibentangkan kepada Kabinet, tetapi tidak dibincang secara terperinci.

Katanya, ia agak mengecewakan kerana perakuan penting MPN yang dikemukakan kepada Kabinet untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak mendapat perhatian segera kerajaan.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya namun menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak berkaitan isu berkenaan.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata, tujuan beliau membuat pendedahan itu adalah supaya semua pihak sedar bahawa negara tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

Katanya, biarpun ada petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar pertumbuhan, pengangguran dan lain-lain, ia dilihatnya hanya bersifat sementara sebelum negara berhadapan kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka pada tahun hadapan.