KUALA LUMPUR, 28 Sept – Kerajaan dicadang supaya mewujudkan satu mekanisma bagi memantau dan menilai pelaksanaan perakuan dibawa oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Madeline Berma, berkata ini kerana kerajaan perlu meningkatkan lagi usaha bagi melaksanakan perakuan yang dibawa MPN susulan hanya 16 daripada 69 selesai dilaksanakan kerajaan.

“MPN sedar ekonomi negara perlu dipulihkan dengan cepat akibat penutupan ekonomi akibat penularan COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara dalam jangka pendek memerlukan pekerja asing.

“Kerajaan perlu mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing di pelbagai sektor, khususnya dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

“Malaysia perlu strategi ampuh. Dalam jangkamasa pendek, negara masih memerlukan pekerja asing dalam sektor ekonomi tertentu, terutama dalam situasi negara sedang berada dalam fasa pemulihan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Madeline yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), berkata kerajaan perlu berusaha mendapatkan pekerja daripada negara selain daripada Bangladesh dan Indonesia, selain melanjutkan permit kepada pekerja asing sedia ada.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia juga perlu bekerjasama dengan majikan untuk mempermudahkan urusan kuota dan proses permohonan membawa pekerja asing masuk untuk mengurangkan ‘defisit keyakinan’ kepada kementerian terbabit.

“Pengambilan pekerja asing sepatutnya penyelesaian interim kepada peningkatan permintaan untuk buruh kurang mahir dan separuh mahir…buruh asing, bukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majlis itu tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Sebaliknya, kuasa berkenaan terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet.

Sementara itu, Profesor Kehormat, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Prof Dr Fatimah Kari, berkata syor yang dibawa MPN sebagai memorandum Jemaah Menteri seharusnya dibawa dalam bentuk data yang terkini.

Beliau berkata, perakuan ini mestilah mengandungi simulasi yang realistik jika dilaksanakan kerana kelewatan Kabinet bertindak mungkin berikutan tiada maklumat atau bukti data yang memerlukan tindakan pantas.

“Kelewatan pelaksanaan syor MPN oleh kerajaan boleh menjadi masalah utama…dalam keadaan krisis untuk memulih ekonomi, kenapa masih ada birokrasi yang tebal.

“Laporan ini mestilah memperincikan lagi isu dan memberi bukti empirikal apakah kesan dari kelewatan birokrasi ini. Cari nilai ekonomi kepada kelewatan ini,” katanya.

Fatimah yang juga Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata, berkaitan cadangan isu kemelesetan ekonomi, pengangguran dan jangkaan pertumbuhan negara pada 2023, MPN perlu mengusulkan cadangan khusus untuk senario ekonomi pada tahun itu sahaja.