KANGAR, 28 Sept – Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan Barisan Nasional (BN) merupakan musuh untuk ditentang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.

Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Malaysia, Dr. Chong Fat Full berkata kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin itu bukannya bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat Islam di negara ini sebaliknya bagi menaikkan semangat ahli parti.

Katanya, kenyataan Muhyiddin itu juga dikeluarkan buat ahli parti dalam satu majlis politik dan bukannya khusus untuk masyarakat umum.

“Kenyataan itu merupakan salah satu strategi politik BERSATU bagi menaikkan semangat ahli, namun, disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“Bila disebut musuh, bukan bermaksud kita berperang, namun, ia adalah musuh politik dan pada bila-bila masa pun kita dapat berkawan juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Sayap Bersekutu BERSATU Peringkat Negeri Perlis di pekarangan Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis di sini pada Selasa.

Sewaktu berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam BERSATU di Putrajaya, Ahad lalu, Muhyiddin mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada PRU15.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Fat Full berkata, sayap Bersekutu BERSATU akan memberi fokus bertanding di kerusi-kerusi berpotensi yang ditandingi parti MCA, MIC, DAP dan PKR dalam PRU15.

“Namun, kita serah keputusan muktamad berpandu kepada rundingan pemimpin tertinggi parti dan saya merasakan kami akan mengambil jumlah kerusi yang praktikal untuk ditandingi pada PRU15,” katanya.

Tambah beliau, sayap Bersekutu BERSATU mempunyai beberapa kerusi tumpuan namun perkara itu tidak dapat didedahkan buat masa ini memandangkan ia merupakan strategi parti bagi berdepan lawan dalam PRU15.

“Buat masa ini, kita memang sudah bermula dengan membuat analisa kawasan tumpuan untuk ditandingi nanti,” katanya.