TAMBUN, 29 Sept – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah memberi bantuan sebanyak RM500 kepada setiap peniaga yang terkesan dalam Karnival Makan dan Usahawan sempena Perak Drag Racing Jamboree 2022.

Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata permasalahan dan aduan para peniaga itu telah mendapat perhatian yang serius daripada Faizal di mana program tersebut telah diadakan di kawasan Parlimen beliau.

“Dimaklumkan di sini bahawa Pusat Khidmat rakyat Parlimen Tambun bukanlah penganjur program tersebut.

“Prihatin dan simpati dengan permasalahan serta kerugian yang ditanggung para peniaga ini, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun untuk segera mengadakan pertemuan dengan peniaga-peniaga yang terkesan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafez Mubin berkata Faizal berkata demikian mengulas sebuah video tular baru-baru ini memaparkan rintihan para peniaga kecil yang berniaga di Karnival Makan dan Usahawan sempena Perak Drag Racing Jamboree 2022.

Dalam pada itu, Hafez Mubin berkata dalam pertemuan dengan peniaga, mereka telah meminta untuk bertemu pihak penganjur bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, pihak Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun telah mengusahakan untuk mengatur pertemuan antara para peniaga dan pihak penganjur.

Katanya, Faizal sendiri telah meminta jasa baik pihak penganjur untuk bertemu dan memulangkan semula duit sewaan tapak kepada para peniaga ini.

“Hasil perbincangan dengan pihak penganjur, mereka memohon untuk mengelak dari bersemuka namun akur dan bersetuju memulangkan semula duit sewaan tapak sebanyak RM1200 kepada setiap peniaga ini.

“Pihak penganjur turut menyatakan permohonan maaf pada semua pihak atas semua kesulitan yang telah berlaku,” katanya.

Hafez Mubin berharap semua perkara yang berlaku itu menjadi iktibar dan pengajaran pada pihak penganjur agar perkara sebegini tidak berulang lagi di masa akan datang.