TANJUNG MALIM, 29 Sept – Guru besar yang bertugas pentadbir sekolah yang menyandang gred DG52 tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata perkara itu diputuskan dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

“Guru-guru besar yang yang sudah capai gred ini (DG52) jangan risau, cikgu akan kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada.

“Perinciannya itu akan diumumkan kemudian dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di sini hari ini.

Beliau berkata, data berkenaan jumlah guru yang terbabit sedang dalam proses semakan.

Katanya, pihaknya yakin langkah itu tidak akan mengganggu proses kenaikan pangkat guru lain.

“Dalam konteks ini, memandangkan mereka pentadbir sekolah, tidak mengapa kerana ada pentadbir yang bersara dan ada baru yang dipilih (isi kekosongan).

“Perkara ini akan berterusan di peringkat guru besar dan kita akan lihat nanti, Insya-Allah tidak akan timbul masalah dalam perkara berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat meminta Radzi mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.