KUALA LUMPUR, 29 Sept – Enam perkara dicadang dalam sesi konsultasi di Parlimen kelmarin berhubung Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Parti Politik sebelum dibentang di Dewan Rakyat pada bulan depan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata antara cadangan itu adalah Malaysia memerlukan “state-funding” untuk parti-parti politik agar wujud padang yang sama rata dan adil untuk semua parti.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mencadangkan agar pelaporan aset dan harta parti mestilah telus dan terperinci agar tiada sesiapa boleh menyalahgunakan dana politik atau menyorok dana yang mereka perolehi atas topeng politik.

“Seterusnya mencadangkan pelantikan pegawai pengawal sumbangan politik mestilah bebas dari pengaruh politik dan diselia oleh parlimen.

“Denda atau hukuman yang dikenakan bagi mereka yang tidak patuh mestilah signifikan supaya ia menghalang salah laku.

“Sumbangan kepada parti harus mendapat pengecualian cukai agar kita menyuburkan budaya sumbangan yang telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, cadangan terakhir adalah peraturan mestilah menyuburkan budaya politik sihat dan menggalakkan partisipasi rakyat dalam menghidupkan budaya politik sihat.

Sementara itu, Wan Saiful berkata penyediaan draf undang-undang sumbangan politik adalah satu perkembangan baik.

Katanya, beberapa kes-kes mahkamah berprofail tinggi melibatkan pemimpin UMNO adalah berkaitan dengan wang berbilion ringgit yang didakwa sebagai sumbangan politik.

“Najib Razak dan Zahid Hamidi kedua-duanya mengatakan mereka menerima sumbangan politik untuk UMNO.

“Jumlah yang mereka bukan jumlah yang main-main. Dan mereka berkongsi dana itu dengan kluster mahkamah,” katanya.

Wan Saiful berkata tidak ada siapa yang tahu jika ada dana yang kononnya dana politik itu sebenarnya digunakan untuk kemewahan peribad.

“Ini kerana negara kita tidak mempunyai sistem pembiayaan politik yang telus,” katanya.

Beliau juga berkata sejak 2015 terlibat dalam proses merangka peraturan pendanaan politik.

Katanya, kelmarin beliau melihat buat pertama kali perkara-perkara pokok yang dirangka oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

“Tahniah kepada pasukan di GIACC yang bertungkus lumus erangka undang-undang yang sedang disediakan,” katanya.