KUALA LUMPUR, 30 Sept – Usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini supaya membincangkan permasalahan ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah mata wang negara, dilihat sudah terlambat.

Ketua Penerangan BERSATU Selayang, Daud Ibrahim berkata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyebut isu tersebut sejak berminggu-minggu lalu.

Daud berkata sebagai ketua pembangkang, Anwar yang sepatutnya mendahului isu ini namun kini prestasinya semakin merosot.

“Lambat. Kenapa lambat sangat. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dah sebut berminggu-minggu isu ini.

“Sepatutnya, sebagai Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim kenalah mendahului.

“Nampak sangat “kehebatan” DS Anwar yang suatu ketika dahulu, kini semakin merosot,” katanya dalam reaksi ringkas di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata perkara itu perlu disegerakan kerana kedua-dua isu berkenaan telah menjejaskan kehidupan rakyat dan teramat memberi kesan kepada mereka dan negara.

“Kenaikan harga barang yang mendadak dan kejatuhan nilai mata wang negara terkini memberi kesan terus kepada rakyat baik secara jangka pendek dan jangka panjang.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Baru-baru ini, Muhyiddin melahirkan kekecewaannya selepas hanya 16 daripada 69 perakuan majlis itu selesai dilaksanakan kerajaan sejak setahun yang lalu.

Jelasnya, perakuan MPN kepada kabinet adalah penting untuk membantu memulihkan industri terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya.

Menurutnya, perakuan PMKS yang telah diangkat ke kabinet pada 18 Mei lalu menimbulkan persoalan adakah ia tidak dibincangkan di dalam mesyuarat atau tidak dibincangkan secara terperinci.

“Saya berasa agak hairan kerana Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perakuan ini telah diangkat,” katanya.

Beliau berkata, perakuan berkaitan isu kekurangan pekerja asing sehingga menjejaskan produktiviti dan merencatkan proses pemulihan negara merupakan prestasi kerajaan yang tidak memberangsangkan.

“Sebarang kelewatan tindakan kerajaan dalam memacu pemulihan negara akan memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Tujuan saya adalah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini,” katanya.

Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar pertumbuhan, penggunaan, pengangguran dan lain-lain namun kata bekas Perdana Menteri itu, ianya hanyalah bersifat sementara sebelum negara berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan.

“Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan sekarang, rakyatlah yang akan menanggung sengsara,” katanya.