DENGKIL, 30 Sept – Guru Cemerlang di sekolah rendah kini berpeluang menikmati kenaikan ke gred lebih tinggi hingga DG52 atau DG54.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata perincian dan kriteria kenaikan gred itu akan diumumkan kementerian, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedar ramai guru siswazah telah ditempatkan di sekolah rendah hingga mencecah kira-kira 90 peratus, justeru mereka akan diberikan ruang sama seperti guru di sekolah menengah.

“Gred guru penolong kanan juga akan dinaikkan jika memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas rungutan dikatakan timbul dalam kalangan guru sekolah rendah bahawa perjawatan Guru Cemerlang hanya setakat Gred DG48 berbanding guru sekolah menengah hingga Gred DG52 dan DG54, sedangkan mereka mempunyai tahap pendidikan yang sama.

Semalam, media melaporkan KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir dengan Gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, terdapat ramai guru siswazah di sekolah rendah kini, iaitu kira-kira 90 peratus seperti di sekolah menengah, justeru sudah tiba masanya untuk gred mereka dinaikkan.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) juga telah bersetuju untuk menaikkan gred itu.

“Guru penolong kanan juga tidak perlu risau kerana kementerian telah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur organisasi di sekolah, dan perincian mengenainya akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.