PUTRAJAYA, 30 Sept – Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa bakal diadakan di 20 kampus seluruh negara bermula pada 16 Oktober depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, projek rintis ini memberi manfaat kepada lebih 500,000 siswa dan dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Item-item yang akan dijual dalam program jualan murah siswa ini berbeza daripada item-item yang kita jual dari Program Jualan Keluarga Malaysia di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) umpamanya, tidak ada barang basah. Item-item ini sedang dimuktamadkan. Umumnya ini akan meliputi perkara-perkara yang diperlukan oleh siswa antaranya alat tulis, beberapa barangan kering dan tiada barangan basah.

“Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kos yang ditanggung oleh siswa. Mereka dapat diskaun untuk barangan tertentu, maka penjimatan itu bolehlah untuk tujuan lain”, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi ke-19 di Putrajaya, pada Khamis.

JMKM Siswa ini akan berlangsung selama 10 minggu sehingga akhir tahun ini. Projek rintis ini juga akan diperluas ke semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lebih RM500 juta nilai barangan dagangan berjaya dijana melalui 11 juta transaksi urusniaga di bawah Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE Dagang bagi tempoh seminggu, antara 12 hingga 17 September.

Program ini dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia MDEC bermula awal September.

“Dianggarkan sejumlah 10 juta rakyat telah menerima faedah dalam bentuk diskaun, rebat, dan subsidi penghantaran, 241,000 peniaga baru dan 91,000 ribu adalah pengusaha wanita”, katanya.

JMKM @De Dagang ini hanya boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan mereka boleh mendapat potongan diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap transaksi.