DENGKIL, 30 Sept – Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan yang akan bermula hujung tahun ini bukan `gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya ia adalah keperluan penduduk.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata projek pembinaan sekolah itu bertujuan membantu penduduk menghantar anak ke sekolah yang lebih dekat dengan kediaman mereka.

Beliau berkata, sekolah itu yang turut dilengkapi 42 bilik kelas, padang termasuk bangunan khas untuk pelajar berkeperluan khas mampu memuatkan kira-kira 1,400 pelajar.

Katanya, tender projek sekolah itu sudah diiklankan sehingga Oktober dan kontraktor yang dipilih akan diberi surat setuju terima (SST) pada awal Disember.

“Projek SMK Kota Warisan ini dijangka siap pada September 2025 dan kosnya akan diumumkan selepas pemilihan kontraktor dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak sekolah itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Ketua Bahagian BERSATU Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Mohd Radzi berkata, pembangunan sekolah itu sudah lama dinantikan penduduk kerana SMK yang berdekatan sudah padat dengan jumlah pelajar yang ramai.

Katanya, SMK Dengkil yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Kota Warisan mempunyai 1,800 pelajar manakala dua sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) sekitar 13km dari sini iaitu SMK Seri Sepang mempunyai 2,200 pelajar dan SMK BBST, 2,400 pelajar.

Beliau berkata, projek pembangunan sekolah ini perlu disegerakan bagi mengelak kesesakan pelajar lebih teruk di sekolah berdekatan.